KUALA LUMPUR, 8 Oktober -Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) terus menghargai peranan pengamal media menerusi penganjuran Majlis Apresiasi & Amal YAPEIM Bersama Media 2025, yang menyaksikan lebih RM55,000 disalurkan kepada warga media yang memerlukan.
Majlis yang diadakan di ibu negara itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, yang turut menyampaikan sumbangan kepada 55 penerima manfaat.
Daripada jumlah itu, 50 penerima menerima bantuan tunai sebanyak RM1,000 setiap seorang, manakala lima lagi menerima sumbangan berbentuk peralatan perubatan dengan nilai keseluruhan RM5,500.
Datuk Dr. Mohd Na’im berkata, majlis tersebut bukan sekadar platform untuk mengeratkan ukhuwah antara YAPEIM dan pengamal media, tetapi juga sebagai tanda pengiktirafan terhadap sumbangan besar media dalam mendidik masyarakat serta membentuk persepsi awam yang positif.
“Tahniah kepada Pengerusi dan Ketua Pengarah YAPEIM yang setiap tahun tanpa gagal menjemput rakan-rakan media yang banyak membantu.
Dalam masa sama, usaha ini juga membantu mengenal pasti rakan media yang berada dalam kesusahan. Mereka yang memudahkan urusan orang lain, insya-Allah, akan dipermudahkan urusannya,” katanya ketika ditemui RTM selepas majlis berkenaan.
Antara pertubuhan media yang terlibat termasuk Kelab Media Kuala Lumpur dan Selangor, Kelab Media Putrajaya, Persatuan Wartawan Jenayah Malaysia, Persatuan Penulis Sukan Malaysia, serta Tabung Kasih @ HAWANA.
Tambah beliau, sumbangan yang diberikan YAPEIM diutamakan kepada keluarga miskin, kumpulan B40, dan individu yang berada di bawah garis kemiskinan.
Dr. Mohd Na’im turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media atas sokongan berterusan membantu YAPEIM memperkukuh Tabung Amanah YAPEIM, yang menjadi saluran utama dalam menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan di seluruh negara.