KUCHING, 8 Oktober - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) tinggal sehelai sepinggang selepas rumah kayu dua tingkat miliknya musnah dalam kebakaran di Kampung Nombor 5, di sini, malam tadi (Selasa).
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.00 malam itu, mangsa berusia 62 tahun sempat menyelamatkan diri sebelum api marak dan memusnahkan keseluruhan struktur rumah berkenaan.
Lebih 20 anggota bomba bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan dikerah ke lokasi bagi memadam kebakaran dan mengawal api daripada merebak ke rumah berhampiran.
Ketua BBP Padungan, Tan Min Chai, berkata siasatan awal tidak menolak kemungkinan berlaku kecuaian oleh penghuni rumah terbabit.
“Berdasarkan maklumat daripada adik-beradik mangsa, beliau merupakan individu kelainan upaya.
"Jadi, tidak menolak kemungkinan ada tindakan mangsa sendiri yang mungkin menyebabkan kebakaran,” katanya ketika ditemui RTM di lokasi kejadian.
Tambahnya, pihak bomba akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.
Kejadian turut menyebabkan bekalan elektrik di beberapa rumah berhampiran terputus sementara bagi tujuan keselamatan.
Api berjaya dikawal sepenuhnya sekitar pukul 11.00 malam.