PUTRAJAYA, 18 April - Rakyat Malaysia yang berada di Kompleks Petronas Khartoum, Sudan yang menjadi sasaran telah berjaya dipindahkan ke tempat selamat pada lewat petang Isnin, waktu Sudan.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, beliau mengarahkan Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar untuk memanggil Duta Besar Sudan ke Malaysia bagi menyuarakan pandangan negara ini dalam konflik terbaharu.
Ia berikutan situasi yang semakin meruncing dan laporan berkenaan “pengambilan paksa” Kompleks Petronas di Sudan, yang turut menempatkan Kedutaan Besar Malaysia.
“Selain itu, Malaysia juga menyampaikan bantahan ke atas tindakan pihak-pihak tertentu yang telah menceroboh kompleks berkenaan.
“Dalam pertemuan berkenaan, Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) telah menekankan keutamaan untuk kesemua pihak di Sudan untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia di negara berkenaan dipelihara.
"Ia adalah konflik dalaman dan kepentingan warganegara asing tidak harus menjadi sasaran pihak-pihak yang bertelagah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Zambry berkata Malaysia sedang mengambil langkah membawa pulang kesemua rakyat Malaysia sebaik keadaan mengizinkan dan memohon kerjasama pihak Sudan bagi menjamin kelancaran usaha tersebut.
(Serangan berhampiran pangkalan RSF di selatan Khartoum pada waktu pagi dengan cepat merebak ke kawasan lain di ibu negara, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum/FOTO AFP)
Beliau menekankan, keselamatan kesemua rakyat Malaysia di Sudan adalah keutamaan kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memutuskan kesemua mereka akan dibawa keluar dari Sudan jika keselamatan terancam.
"Bagi tujuan ini, Pasukan Khas yang diketuai oleh Kementerian Luar Negeri telah merangka pelan evakuasi untuk membawa pulang 32 rakyat Malaysia berdasarkan data terkini yang dikongsikan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum.
"Ia akan dilaksanakan bersama negara-negara sahabat serta-merta sebaik sahaja ada peluang berbuat demikian.
"Walau bagaimanapun, keadaan semasa masih belum mengizinkan proses evakuasi dilakukan kerana pertempuran masih memuncak," tambah Zambry.
Beliau juga memaklumkan bahawa krisis di Sudan turut memberi kesan kepada semua pejabat kedutaan asing.
Katanya, terdapat laporan serangan dilakukan ke atas Duta Besar Kesatuan Eropah, rakyat Jepun dikasari, kenderaan diplomatik Amerika Syarikat ditembak manakala kediaman rasmi Duta Besar Kuwait ke Sudan diceroboh.