KUALA LUMPUR, 24 November - Usaha reformasi dalam bidang ekonomi menuntut keterlibatan seluruh anggota masyarakat demi manfaat bersama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan signifikannya peranan gerakan koperasi menyokong usaha tersebut.
Usaha merakyatkan perniagaan dilihat selari amalan demokrasi dengan matlamat ekonomi yang jelas demi kepentingan rakyat.
"Reformasi dalam kegiatan ekonomi bermaksud bisnes perlu dirakyatkan. Kita menjamin penyertaan semua pihak bermakna akar umbi dengan pulangan terbaik mengambil konsep musyarakah, tolong menolong dalam bidang ekonomi," kata Anwar dalam ucaptama pada majlis makan malam Koperasi Keadilan Berhad (KIRA) berlangsung di sebuah hotel di Ibu Negara.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Ekonomi merangkap penasihat KIRA, Rafizi Ramli,; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, selain Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
KIRA diasaskan pada Mac lalu bertujuan menjana pendapatan melalui perniagaan untuk ahlinya selain manfaat kebajikan; dan bercadang membuka kedai runcit selain pusat asuhan menjelang suku pertama 2024.