fb fb fb fb fb

Kelas Tahfiz al-Quran di penjara akan diperluas di seluruh negara

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Datuk Ibrisam Abdul Rahman

KAJANG, 24 November- Penubuhan Kelas Tahfiz Al-Quran di Penjara Kajang merupakan platform mengembangkan pengajian berteraskan Al-Quran dan Pendidikan Islam di institusi penjara.

Seramai 20 penghuni penjara terpilih menjalani kelas tersebut dengan bimbingan guru-guru Tahfiz bertauliah berserta modul pembelajaran yang bersesuaian.

Menurut Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Datuk Ibrisam Abdul Rahman, program hasil kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) itu sebagai inisiatif membantu proses pemulihan jiwa dan rohani banduan beragama Islam.

"Mereka tersilap langkah, membuat satu keputusan yang salah dan dipenjarakan atas kesalahan mereka. Jadi, kita bentuk dan betulkan semula akidah mereka melalui pengajian agama, kelas-kelas mengaji, fardhu ain dan tahfiz.

Peringkat tahfiz ini tertinggilah, bukan senang kita nak membolehkan seseorang yang mampu menghafal 30 juzuk," kata Ibrisam kepada pemberita selepas merasmikan Kelas Tahfiz Khairul Ummah Penjara Kajang, di sini.

Penjara Kajang merupakan institusi penjara ketiga mempunyai program Tahfiz selepas diwujudkan di Penjara Kluang, Johor dan Penjara Penor, Pahang.

Justeru, inisiatif kelas Tahfiz itu disasar akan diperluas ke penjara di setiap negeri, selaras hasrat Jabatan Penjara ke arah pembinaan modal insan.

Selain itu, memberi peluang kepada banduan meningkatkan ilmu agama, seterusnya menjadi nilai tambah kepada banduan apabila dibebaskan kelak.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM