fb fb fb fb fb

KDN rampas lapan buku disyaki mengandungi unsur komunisme

Orang ramai diminta untuk memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan hasil penerbitan tidak diingini

KUALA LUMPUR, 24 November - Sebanyak lapan naskah buku disyaki mengandungi unsur komunisme dirampas dalam pemeriksaan di sebuah premis di Petaling Jaya dekat sini, semalam.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan berkata tindakan itu dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan selepas menerima maklumat berkaitan penjualan buku terbabit.

"Tindakan penahanan penerbitan berkenaan dibuat selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 18 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP) yang membolehkan penguat kuasa KDN menahan apa-apa hasil penerbitan yang disyaki menyalahi undang-undang untuk tujuan kajian lanjut," katanya.

KDN komited menjalankan tanggungjawab mengawal selia penerbitan di dalam negara khususnya penerbitan yang disyaki mengandungi elemen mengganggu-gugat ketenteraman awam, moral, keselamatan, menggemparkan pemikiran orang ramai, berlawanan dengan undang-undang, memudaratkan kepentingan awam atau kepentingan negara selaras dengan perundangan yang berkuat kuasa.

Orang ramai diminta untuk memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan hasil penerbitan tidak diingini dengan menghubungi talian 03-8000 8000/8889 3145, e-mel kepada Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. atau melalui laman sesawang www.moha.gov.my.

TETITIA YUSOFF