fb fb fb fb fb

Rakyat diseru peka pemasangan Jalur Gemilang secara betul

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun

SEREMBAN, 1 Ogos -Rakyat diseru supaya lebih peka dalam pemasangan Jalur Gemilang dengan memastikan ia dipasang pada kedudukan yang betul.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pemasangan bendera secara sempurna bukan sahaja mencerminkan semangat patriotik, malah menunjukkan kefahaman rakyat terhadap simbol kedaulatan negara.

"Kita telah merdeka 68 tahun. Janganlah menimbulkan kontroversi dengan adanya insiden yang menunjukkan pemasangan dan paparannya di media sosial tidak mengikut garis panduan yang betul. Kibarkanlah bendera yang cukup sifatnya di mana-mana sahaja, dengan penuh rasa bangga.

"Pastikan tiada Jalur Gemilang yang koyak atau lusuh, dipasang dengan hormat dan penuh adab kerana ini akan mencerminkannilai diri kita sebagai rakyat Malaysia," katanya kepada media pada Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, di sini.

Menjelang Sambutan Hari Kebangsaan, pelbagai program dijadualkan berlangsung di Negeri Sembilan termasuk Konvoi Jelajah Akar Umbi, Sambutan Ambang Merdeka di Kuala Pilah serta  perbarisan dan perarakan rasmi di Padang Majlis Bandaraya Seremban.

TETITIA YUSOFF