PUTRAJAYA, 1 Ogos - Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (General Border Committee-GBC) antara Thailand dengan Kemboja dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada Selasa ini, susulan persetujuan kedua-dua negara untuk memindahkan lokasi mesyuarat dari Phnom Penh ke Malaysia.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Menurutnya, kerajaan Thailand secara rasmi memohon agar mesyuarat berkenaan diadakan di Kuala Lumpur berikutan situasi sensitif yang melibatkan hubungan dua hala antara Bangkok dengan Phnom Penh.
“Thailand telah meminta supaya Mesyuarat GBC tidak diadakan di Phnom Penh seperti dijadualkan sebelum ini, tetapi dipindahkan ke Kuala Lumpur. Pertemuan pra-GBC juga akan diadakan pada Isnin ini, dan ia diuruskan sepenuhnya oleh pihak Kementerian Pertahanan,” katanya.
Datuk Fahmi memaklumkan, Mesyuarat GBC pada Selasa ini turut disertai atase pertahanan dari negara anggota ASEAN, selain wakil Amerika Syarikat dan China yang hadir sebagai pemerhati.
Dalam masa yang sama, beberapa perkara berkaitan usaha perdamaian turut dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, termasuk rundingan genjatan senjata antara Thailand dengan Kemboja serta cadangan pembentukan pasukan pemantau yang bakal disokong negara anggota ASEAN lain.
Katanya, pasukan pemantau itu akan memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan genjatan senjata yang telah dipersetujui kedua-dua pihak.
“Panglima Angkatan Tentera menyifatkan perkembangan ini sebagai satu bentuk genjatan senjata paling singkat yang berjaya dicapai dalam tempoh hanya tiga hari berbanding situasi serupa yang pernah berlaku di negara lain,” katanya.