fb fb fb fb fb

Ekonomi kreatif diiktiraf sebagai komponen utama dalam RMK13

Sektor ekonomi jingga atau ekonomi kreatif negara diangkat sebagai salah satu komponen penting dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

PUTRAJAYA, 1 OgosSektor ekonomi jingga atau ekonomi kreatif terus mendapat pengiktirafan apabila diangkat sebagai salah satu komponen penting dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, usaha Kementerian Ekonomi melibatkan semua kementerian melalui sesi libat urus telah membolehkan pandangan dan input sektor kreatif diketengahkan secara menyeluruh dalam dokumen RMK13.

“Sebagai contoh, Kementerian Komunikasi telah mengemukakan input khusus berkaitan keterlibatan sektor ekonomi jingga, merangkumi industri filem, muzik, animasi dan sebagainya.

“Kementerian Ekonomi menyambut baik cadangan tersebut dan memasukkannya ke dalam dokumen akhir RMK13,” katanya dalam sidang media mingguan hari ini.

Beliau menegaskan, intervensi itu mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap potensi sektor kreatif dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Datuk Fahmi turut menyambut baik komitmen Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan MyCreative Ventures yang akan membantu memastikan industri perfileman, muzik dan animasi menerima manfaat sepenuhnya di bawah pelaksanaan RMK13.

Bagaimanapun, katanya, butiran lebih terperinci berkaitan manfaat khusus kepada industri kreatif dijangka diumumkan dalam pembentangan Belanjawan Madani 2026 yang dijadualkan Oktober ini.

“RMK13 ini merupakan dokumen jangka sederhana 'a statement of intent'. Kita akan lihat bagaimana pelaksanaannya diterjemah melalui belanjawan nanti, terutama bagi memastikan industri kreatif mendapat sokongan, insentif dan ekosistem yang kondusif untuk berkembang pesat,” katanya.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN