PUTRAJAYA, 31 Januari- Kerajaan berharap segala usaha untuk memastikan kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat dapat terus dipertingkatkan sehingga ke tahun-tahun seterusnya.
Justeru, sempena sambutan Tahun Baharu Cina, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak semua rakyat terus bersatu hati menyokong usaha kerajaan untuk memulih dan menstrukturkan semula ekonomi bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya.
Menerusi kenyataan media, beliau berkata ekonomi Malaysia berada pada landasan yang tepat ke arah pemulihan, berdasarkan pembukaan semula lebih daripada 90% sektor ekonomi dan kebanyakan aktiviti sosial.
"Pemulihan tersebut disokong oleh kadar vaksinasi yang tinggi dengan hampir keseluruhan populasi telah divaksinasi," menurut Ismail.
Perdana Menteri juga berkata dengan momentum pemulihan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berada pada landasan yang kukuh untuk terus berkembang antara 5.5% dan 6.5% pada 2022. Ia selari dengan unjuran oleh IMF pada 6.0% dan Bank Dunia pada 5.8%.
Pertumbuhan itu akan dipacu terutamanya menerusi Bajet 2022 yang mengembang bernilai RM332.1 bilion, normalisasi dalam aktiviti ekonomi dan sosial.
Selain itu, penyambungan semula projek dengan kesan pengganda tinggi dan permintaan luar yang kukuh terutamanya daripada rakan dagang utama juga akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Ke semua itu sejajar dengan hasrat kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2025 melalui pelbagai inisiatif yang digariskan.
"Marilah kita sama-sama berdoa, semoga tahun ini membawa kemakmuran, kebahagiaan dan kesihatan yang baik untuk seluruh Keluarga Malaysia," katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh Keluarga Malaysia yang berketurunan Tionghua.
Katanya, selepas dua tahun terpaksa menyambut tahun baharu dari kejauhan dan terpisah dengan keluarga, pada tahun ini masyarakat Tionghua dapat kembali meraikan Tahun Baharu Cina bersama ibu bapa dan keluarga tercinta.
"Peluang yang dinikmati ini diharap dapat mengerat dan mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan. Namun di kala bergembira, usah dilupakan prosedur operasi standard (SOP) dalam memastikan kita semua dapat terus hidup membendung penularan wabak COVID-19.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh masyarakat Cina yang telah berganding bahu dengan kaum-kaum lain seperti Melayu, India, Kadazan, Dusun, Murut, Iban, Bidayuh dan Melanau sebagai sebuah Keluarga Malaysia.