fb fb fb fb fb

Jenazah ayah Jijoe selamat dikebumikan

 
DUNGUN, 31 Januari- Jenazah Allahyarham Awang@Muda Embong, 73 tahun bapa kepada jaguh berbasikal negara Datuk Azizulhasni Awang selamat dikebumikan pukul 3 petang tadi di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, Dungun.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Nibong Stesen di sini kira-kira pukul 5.45 pagi akibat penyakit strok.

Jenazah telah disolatkan di Surau Ustaz Omar Syukri di Jalan Nibong Stesen Dungun dengan dihadiri oleh kaum keluarga dan masyarakat sekitar.

Menurut abang kepada Datuk Azizulhasni, Mohd Azrul Hafidz Awang, bapanya sebelum ini telah dimasukkan ke hospital selama empat hari susulan pernafasan yang tidak stabil.

Bagaimanapun, kesihatan ayahnya kembali stabil dan dibenarkan pulang petang semalam.

Mohd Azrul menyifatkan arwah ayahnya seorang bapa yang sering menyokong minat anak-anaknya terutama Datuk Azizulhasni yang meminati sukan berbasikal.

Datuk Azizulhasni yang kini berada di Melbourne, Australia berkesempatan pulang bertemu dengan Allahyarham bapanya minggu lalu. 

Media Baharu