PORT DICKSON, 31 Januari- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan memberi jaminan bekalan telur ayam pelbagai gred mencukupi dan mudah diperoleh untuk pengguna di negeri itu.
Menurut Exco Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar negeri, S.Veerapan, ia berdasarkan pemeriksaan oleh penguat kuasa KPDNHEP terhadap 29 premis meliputi pasar raya besar, pasar raya, pasar mini, kedai runcit dan pembekal telur di pasar awam.
Kekerapan premis runcit mendapat bekalan telur ayam daripada pembekal Negeri Sembilan dan negeri Melaka adalah sekitar dua hingga tiga kali seminggu.
Jumlah bekalan yang diterima pula bergantung kepada tempahan yang dilakukan oleh pihak premis tersebut.
"Saya juga nak nyatakan dengan tegas mana-mana peniaga yang tidak patuh peraturan bawah skim dilaksana akan diambil tindakan tegas bagi memastikan barang dikawal ini dijual dengan harga ditetapkan," kata S. Veerapan.
Beliau yang ditemui di Port Dickson berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung gangguan bekalan telur ayam daripada pengguna.
Penguat kuasa KPDNHEP sentiasa memantau kedudukan bekalan telur ayam di 151 'District-Dedicated Retailers' dan 33 'District-Dedicated Wholesalers' di seluruh Negeri Sembilan.