LABUAN 31 Januari- Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan membabitkan kes rasuah.
Mengikut fakta kes, tertuduh, wanita berumur 50 tahun, didapati menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan jawatannya sebagai Pegawai Tadbir Gred N41 sekitar tahun 2012, untuk kepentingan peribadi bagi mendapatkan semua kerja berkaitan kursus, di agensi tempat beliau bertugas.
Ia dengan mengarahkan individu lain membuat permohonan melalui Borang Permohonan Pembelian Menggunakan Pesanan Tempatan (LPO), atas nama sebuah syarikat, yang mana beliau juga adalah pemilik bersama syarikat itu.
Kesemua kesalahan dilakukan pada Februari, April dan November 2012, dengan nilai keseluruhannya berjumlah RM44,700.
Pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Abu Bakar Manat, di Mahkamah Labuan.
Tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin, selain perlu menyerahkan passport antarabangsa dan melapor diri di Pejabat SPRM Labuan dua bulan sekali.
Beliau dituduh di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Jika disabit bersalah, boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama, iaitu penjara tidak lebih 20-tahun, atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Kes akan disebut semula pada 18 Mac 2022.