fb fb fb fb fb

Operator perkhidmatan utiliti di Kedah diminta pastikan operasi tidak terganggu ketika Tahun Baharu Cina - Sultan Kedah

 


ALOR SETAR, 31 Januari- Semua penyedia perkhidmatan utiliti di Kedah diminta supaya mengambil langkah persediaan yang sewajarnya bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat masing-masing tidak terganggu ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina kali ini.

Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah, syarikat terbabit juga perlu memastikan semua aset dan medium yang digunakan untuk menyampaikan perkhidmatan berada dalam keadaan baik dan diselenggara mengikut jadual agar tiada aduan gangguan perkhidmatan dilaporkan.

Dalam satu kenyataan Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Paduka Bakar Din berkata, Sultan Kedah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff turut bertitah agar mereka yang mengambil kesempatan melakukan perjalanan sempena cuti perayaan ini agar berhati-hati di jalan raya dan patuh semua peraturan jalan raya yang ditetapkan pihak berkuasa bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Datuk Paduka Bakar berkata baginda berdua turut menasihatkan rakyat agar tidak menyembunyikan maklumat sekiranya didapati positif atau sekiranya menjadi kontak rapat kepada kes positif.

Ini kerana perbuatan itu bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah turut membahayakan diri sanak saudara dan sahabat handai.

Titah baginda berdua lagi, hari perayaan adalah masa untuk meluangkan masa mengeratkan kembali hubungan silaturrahim sesama keluarga dan rakan-rakan yang lama berjauhan.

Justeru, adat ziarah menziarahi sesama sanak saudara dan sahabat handai wajar diteruskan bagi mengeratkan silaturrahim dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard, SOP yang ditetapkan.

Namun sekiranya tidak dapat berbuat demikian secara bersemuka, rakyat digalakkan untuk memanfaatkan kecanggihan teknologi komunikasi kini yang dapat memungkinkan perhubungan dilakukan secara jarak jauh.

Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin dan Sultanah Maliha turut menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Perayaan Tahun Baharu Cina kepada semua rakyat berbangsa Tiong Hua khususnya di Kedah.

Media Baharu