fb fb fb fb fb

Rakaman tular provokasi terhadap polis video lama - Polis

(Siaran media IPD Ipoh)

IPOH, 16 Disember- Polis mengesahkan video tular yang memaparkan kejadian provokasi terhadap seorang pegawai polis oleh dua individu yang tular di media sosial sejak semalam, merupakan video lama.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, semakan mendapati video berkenaan pernah dimuat naik menerusi akaun Facebook ‘Bawang Rangers’ pada 7 Disember 2019, namun disebarkan semula oleh pemilik akaun TikTok 'mdkamalmdkamal186'.

“Dua kertas siasatan telah dibuka mengenai kejadian dan penularan video itu di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan pada tahun 2019.

“Kedua-dua kes telah pun selesai dan kedua-dua individu yang menghalang pegawai polis menjalankan tugas juga telah dituduh di mahkamah,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, orang awam diingatkan agar tidak menularkan maklumat tidak benar yang akan menjejaskan kredibiliti pasukan polis.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang menyalahguna media sosial untuk menyebarkan maklumat palsu sehingga mendatangkan khianat awam,” katanya.

(Tangkap layar TikTok @mdkamalmdkamal186)

Media Baharu