fb fb fb fb fb

Audit keselamatan tapak perkhemahan, tanggungjawab pengusaha - Lee Lam Thye

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye

KUALA LUMPUR, 16 Disember- Aspek keselamatan orang awam harus menjadi keutamaan oleh semua pengusaha tapak perkhemahan dan rekreasi.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata ia termasuk membuat audit keselamatan dari semasa ke semasa bagi memastikan keadaan kawasan berada pada tahap terbaik.

"Saya ingin menegaskan bahawa aspek keselamatan orang awam adalah menjadi tanggungjawab pihak pengusaha kem rekreasi itu.

Audit keselamatan di kawasan itu perlu dilaksana bagi menjamin tahap keselamatan lokasi, terhindar daripada sebarang risiko berbahaya akibat kesan cuaca tidak menentu pada masa kini," kata Lee Lam Thye kepada pemberita RTM berhubung reaksi tragedi tanah runtuh yang berlaku di Batang Kali menerusi satu temu bual maya.

Jelasnya, audit keselamatan membolehkan pengusaha mengenal pasti risiko di kawasan tapak perkhemahan dan rekreasi, seterusnya mengambil langkah-langkah yang perlu agar kawasan tersebut selamat digunakan pengunjung.

Terdahulu, satu kejadian tanah runtuh berlaku di tapak perkhemahan berhampiran sebuah ladang organik, Father's Organic Farm di Gohtong Jaya.

Usaha mencari dan menyelamat masih giat dilakukan pihak berkuasa.


(Kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor)

Media Baharu