fb fb fb fb fb

PERKESO Perlis tingkatkan kempen, galakkan mencarum

PERLIS, 16 Disember- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Perlis akan terus meningkatkan kempen bagi menggalakkan lebih ramai individu mendaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Bagi SKSPS, sehingga kini seramai 6,536 individu telah mendaftar dibawah 20 sektor pekerjaan sendiri yang ditetapkan, manakala bagi SKSSR yang baru diperkenalkan pada 1 Disember lalu merekodkan 14 individu yang mendaftar.

 
(ADUN Indera Kayangan, Gan Ay Ling turut serta dalam kempen untuk menggalakkan caruman PERKESO)

Pengarah PERKESO Negeri, Basharudin Khalid memaklumkan, pihaknya akan terus menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan, swasta dan pemimpin masyarakat di Perlis bagi memberi kesedaran agar lebih ramai mencarum dengan PERKESO.

"Kami terus mengharapkanlah orang ramai di luar sana untuk memastikan ambil kesempatan, peluang yang ada yang telah diberikan oleh pihak perkeso dan kerajaan yang mana faedah sangat-sangat banyak manfaat untuk dilindungi untuk memastikan kita mendapat pampasan sekiranya berlaku apa jua musibah atau pun kecederaan," katanya pada Program Pendaftaran Caruman PERKESO di Pasar Cina, Kangar yang dianjurkan dengan kerjasama Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Indera Kayangan.

Masyarakat setempat khususnya di kawasan Indera Kayangan tidak melepaskan peluang mendapatkan maklumat dari PERKESO mengenai skim ditawarkan selain mendaftar sebagai pencarum.

"Kami mahu lebih rakyat mengetahui program seumpama ini dan disebarkan untuk kebaikan dan diambil oleh rakyat supaya mereka dapat mendapat lah semua-semua kebaikan yang telah dijalankan skim-skim yang dijalankan oleh pihak kerajaan dan saya war-warkan kalau mereka berasa ragu ragu dan sebagainya bolehlah berkunjung ke pejabat perkeso negeri perlis," kata ADUN Indera Kayangan, Gan Ay Ling.

Sehingga kini, secara keseluruhannya seramai lebih 560,000 telah menyertai SKSPS di seluruh negara, manakala bagi SKSSR hanya 2,000 yang menyertainya.

Media Baharu