
KUALA LUMPUR, 24 Januari – Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menziarahi Sarjan Anis Nazia Mohd Nazri, mantan Pengiring Rapat Seri Paduka Baginda di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.
- Raja Permaisuri Agong menziarahi Sarjan Anis Nazia yang dirawat di unit rawatan rapi HKL akibat pendarahan otak selepas kemalangan jalan raya.
- Raja Zarith Sofiah mendoakan kesembuhan segera dan agar Sarjan Anis dapat kembali bertugas serta keluarga dipermudahkan urusan.
- Keberangkatan disambut Pengarah HKL Datuk Dr. Harikrishna K.R Nair dan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Azani Omar.
Menerusi hantaran Facebook Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Sarjan Anis Nazia pernah berkhidmat sebagai Pengiring Rapat kepada Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong di Johor bermula pada tahun 2008 hingga 2018.
“Sarjan Anis Nazia yang ketika ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dimasukkan ke unit rawatan rapi HKL akibat pendarahan otak selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada 14 Januari di Jalan Jelatek, Kuala Lumpur,” menurut hantaran itu.
Raja Zarith Sofiah turut mendoakan kesembuhan kepada Sarjan Anis.
“Semoga Sarjan Anis diberi kesembuhan segera dan dapat kembali bertugas seperti sedia kala serta dipermudahkan segala urusan beliau dan keluarga,” tambah hantaran itu.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut Pengarah HKL Datuk Dr. Harikrishna K.R Nair dan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Azani Omar.