fb fb fb fb fb

Raja Perlis zahir sokongan perkasa pelancongan, ekonomi ‘Jati of Perlis’

Majlis Perasmian Pasar Geowarisan Se-Jati 2025 yang berlangsung di Teak Eco Park, Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) Mata Ayer

PADANG BESAR, 27 Julai - Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menzahirkan sokongan penuh terhadap usaha memperkasa 'Jati of Perlis' sebagai pemangkin pembangunan ekonomi, ekopelancongan dan warisan negeri.

Baginda memperakui bahawa industri berasaskan jati ini bukan sahaja boleh membawa nilai ekonomi yang tinggi tetapi turut juga memartabatkan identiti Perlis sebagai negeri yang kaya dengan khazanah alam dan sejarah perhutanan.

"Jati of Perlis perlu terus diperkukuh dan diposisikan setaraf dengan produk ikonik lain seperti Harum Manis. Beta percaya, pengiktirafan Petunjuk Geografi (GI) akan memberikan kelebihan pasaran dan menjadikan produk ini kebanggaan rakyat Perlis," titah baginda.

Baginda berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Pasar Geowarisan Se-Jati 2025 yang berlangsung di Teak Eco Park, Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) Mata Ayer, di sini.

Program anjuran Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Jabatan Perhutanan Negeri Perlis (JPNPs) dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis (BPEN) berlangsung selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Julai itu berjaya menghimpunkan lebih 3,000 pengunjung termasuk wakil-wakil agensi kerajaan, pihak industri, para pengusaha industri kecil sederhana, pelajar serta komuniti tempatan.

Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk, pameran produk kraf berasaskan jati (tectona grandis), demonstrasi kraf kayu, forum perkongsian industri, sesi padanan perniagaan serta aktiviti ekopelancongan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI