KUALA LUMPUR, 27 Julai - Penganjuran Beret Unity Walk bersempena dengan sambutan Hari Pahlawan 2025 hari ini berjaya menghimpunkan generasi muda dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu perarakan simbolik di Taman Tugu Negara.
Program anjuran Warisan Wira itu menyaksikan penyertaan seramai 180 pelajar daripada Maktab Tentera Diraja dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), yang menamatkan perarakan sejauh beberapa kilometer menuju Tugu Negara sebagai tanda penghormatan kepada wira-wira negara.
Ahli Jawatankuasa Warisan Wira, Zainul Tan Sri Zain Hashim berkata, ini merupakan kali pertama acara Beret Unity Walk diadakan, dengan matlamat menyemai semangat perpaduan dalam kalangan anak-anak veteran serta warga tentera darat, laut dan udara.
"Ini merupakan kali pertama kita menganjurkan Beret Unity Walk sempena sambutan Hari Pahlawan. Program ini juga bertujuan untuk menggabungkan anak-anak veteran serta anak-anak anggota tentera darat, laut dan udara dalam satu perjalanan simbolik sebagai tanda perpaduan", katanya selepas acara Beret Unity Walk di sini, hari ini.
Sementara itu, Penaung Warisan Wira, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Datuk Seri Diraja Mohd. Zahidi Zainuddin turut menyatakan rasa bangga terhadap pencapaian anak-anak warga ATM yang kini berjaya dalam pelbagai sektor penting negara.
"Ada yang bertugas di Bank Negara, ada juga di Bursa Malaysia, dan tidak kurang juga anak-anak pegawai tinggi tentera seperti jeneral yang kini berjaya dalam bidang masing-masing.
"Saya amat mengalu-alukan penyertaan mereka dalam inisiatif ini kerana tujuan kami adalah murni iaitu untuk menyatukan semua anak-anak veteran dan menunjukkan kepada rakyat Malaysia betapa mulia dan bermaknanya kerjaya sebagai seorang anggota tentera," jelasnya.
Kemuncak acara diserikan dengan sesi People Library, yang merupakan perkongsian pengalaman veteran – veteran ATM sebagai usaha menghargai jasa serta menyemai nilai patriotik dalam kalangan generasi muda.