ARAU, 15 April- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini berkenan menyempurnakan pelancaran buku “Dakwah Bil Hal: 111 MAIPs Peduli Tahun 2024”, terbitan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Buku itu diterbitkan bersempena Sambutan 25 Tahun Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, sebagai satu bentuk dokumentasi serta penghargaan terhadap usaha kebajikan yang dilaksanakan di bawah naungan baginda.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, buku tersebut memaparkan kejayaan pelaksanaan 111 siri Kayuhan MAIPs Peduli sepanjang tahun 2024. Ia menjadikan jumlah keseluruhan kayuhan sejak program ini diperkenalkan pada tahun 2013 kini mencecah 978 kali.
“Program ini telah memberi manfaat secara langsung kepada seramai 51,028 individu, dengan jumlah agihan zakat sebanyak RM33.2 juta yang disalurkan khusus menerusi inisiatif kayuhan ini sahaja,” ujar beliau ketika berucap pada majlis pelancaran buku yang berlangsung di Laman Warisan, Arau.
Tambahnya lagi, Kayuhan MAIPs Peduli merupakan inisiatif berbentuk kebajikan berasaskan aktiviti berbasikal yang dicetuskan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra sendiri, selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs. Program itu bukan sahaja bertujuan menyampaikan bantuan zakat secara terus kepada golongan asnaf, malah menjadi medium dakwah bil hal mendekati masyarakat sambil menyantuni keperluan mereka.
Pendekatan ini, jelas Mohd Nazim, selaras dengan Pelan Strategik MAIPs 2021–2025 yang memberi penekanan kepada keberkesanan sistem pengurusan zakat dan kebajikan yang lebih proaktif, tersusun serta berimpak tinggi.
Program kayuhan itu juga merupakan antara pencapaian utama bawah agenda Transformasi Pengurusan MAIPs yang bermula sejak 2011, dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU). Melalui pendekatan jejak asnaf, keperluan golongan sasar dapat dikenal pasti secara langsung di lapangan dan bantuan disalurkan tanpa birokrasi yang membebankan.
Pelancaran buku tersebut bukan sahaja menandakan rekod pencapaian MAIPs, malah menjadi simbol komitmen jangka panjang institusi itu dalam memperkasa amalan zakat yang lebih inklusif dan mesra rakyat.