PHNOM PENH, 21 Oktober- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan pertemuan dengan Mufti Cambodia, Oknha Kamaruddin Yusof di ibu pejabat Majlis Tertinggi Pimpinan Umat Islam Cambodia yang beroperasi di Khan Russey Keo, Phnom Penh.
Kamaruddin juga adalah merupakan Presiden Cambodia Halal Technical dan sudah pernah beberapa kali berkunjung ke negeri Perlis sebelum ini.
Hubungan antara komuniti Islam di Cambodia dengan Perlis telah bermula puluhan tahun lalu semenjak era bekas Mufti Perlis lagi iaitu ketika Allahyarham Datuk Alim Panglima Mat Jahya Haji Hussin masih berkhidmat dari tahun 1984 sehingga 2006.
Terdapat lebih daripada 45 orang pelajar berasal dari Cambodia yang pernah belajar di beberapa buah institusi pendidikan di Perlis seperti Maahad At-Tarbiyah Al-Islamiah (MATRI) dengan menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan pembelajaran di peringkat diploma dalam pelbagai bidang pengajian Islam di Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs) yang sekarang menjadi alumni pelajar Perlis sekaligus sedang bergiat aktif dalam pelbagai lapangan pendidikan dan pengurusan Islam di Cambodia.
Antara yang mengiringi sama baginda adalah Mufti Perlis, Profesor Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Profesor Dr Muhamad Rozaimi Ramle bagi membincangkan beberapa kerjasama dua hala termasuklah dalam bidang pendidikan dan pengurusan hal ehwal Islam.