fb fb fb fb fb

Raja Muda Kedah berkenan berangkat ke Majlis HASN Peringkat Kebangsaan

Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin berkenan bergambar pada Perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2024 peringkat Kebangsaan, semalam/ FOTO BERNAMA

LANGKAWI, 22 Oktober - Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin berkenan merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Kebangsaan 2024 di Langkawi, Kedah malam tadi.

Turut hadir pada majkus itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Alam Sekitar Kedah Mohamad Yusoff Munir Zakaria mewakili Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad.

HASN yang disambut setiap 21 Oktober setiap tahun mengekalkan tema 'Alam Sekitar, Tanggungjawab Bersama'.

Nik Nazmi dalam ucapannya berkata sambutan pada kali ini ibarat sirih pulang ke gagang dengan sambutan Hari Alam Sekitar Negara dianjurkan susulan termaktubnya Deklarasi Langkawi Mengenai Alam Sekitar pada Oktober 1989.

Turut diadakan penyampaian Anugerah Langkawi-Kelestarian Alam Sekitar (ALKAS).

Anugerah itu merupakan penghargaan dan pengiktirafan tertinggi negara kepada individu dan organisasi di Malaysia yang telah memberikan sumbangan besar dan signifikan ke arah kelestarian alam sekitar.

ALKAS juga tercetus daripada Deklarasi Langkawi yang telah ditandatangani oleh Ketua-Ketua Negara Komanwel pada tahun 1989.

Jabatan Penyiaran Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerima Anugerah Media Kolobarasi Lintas Platform iaitu keterlibatan RTM membuat liputan di semua platform media melalui liputan di lokasi, saluran berita televisyen dan melalui laman sesawang dan terutamanya di slot-slot televisyen.

Hadiah diterima oleh Pengarah Penyiaran Kedah Nur Hafizoh Idris mewakili Jabatan Penyiaran Malaysia.

Media lain yang turut menerima anugerah ialah Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) menerima Anugerah Media Penulisan Cakna Alam Sekitar dan SINAR HARIAN menerima Anugerah Media Suara Masyarakat Lestari.

Sementara itu, Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah St. Micheal, Penampang, Sabah, Jennifer Asing membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000, plak dan sijil selaku selaku Anugerah Langkawi – Kelestarian Alam Sekitar (ALKAS) bagi calon individu.

Turut diadakan penyampaian Anugerah Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) Peringkat Kebangsaan 2023/2024.

TETITIA YUSOFF