fb fb fb fb fb

KKM buat rondaan lebih kerap, kuat kuasa Akta 852

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Norhayati Rusli ditemui pemberita ketika OP Mega Bersepadu KKM

KUALA LUMPUR, 22 Oktober - Sejumlah 352 premis di Kuala Lumpur dan Putrajaya telah diperiksa bagi pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), sejak ia dikuatkuasakan pada 1 Oktober lalu.

Rondaan lebih kerap akan dilakukan di lokasi yang sering menerima aduan mengenai isu merokok di tempat larangan, tegas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Norhayati Rusli.

Tambahnya, melalui beberapa operasi harian dan berjadual dijalankan, sejumlah 33 notis di bawah Seksyen 47 Akta 852 telah dikeluarkan.

"Sejumlah 33 notis kesalahan di bawah Seksyen 47 Akta 852 telah dikeluarkan dengan nilai kompaun bernilai RM8,250 menerusi operasi harian dan berjadual. Sebanyak 18 notis membabitkan kedai makan, kompleks beli-belah (7 notis) dan perhentian awam (8 notis)," katanya kepada pemberita selepas Operasi Mega Bersepadu Penguatkuasaan Akta 852 di Kampung Baru di sini pada malam Isnin.

Beliau sebelum itu turut sama mengedarkan tanda larangan merokok terkini di 58 buah premis dilawati dengan kerjasama pelbagai agensi, antaranya Polis Kuala Lumpur, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Tanda larangan baharu ditambah dengan logo rokok elektronik dan kod QR yang boleh diimbas bagi mengetahui lebih lanjut berkait khidmat nasihat kesihatan. Pemilik premis juga tidak dibenarkan letak bekas abu rokok bagi elak pelanggan merokok. Jika pelanggan merokok, pemilik premis diminta untuk menasihatkan dengan berhemah agar tidak merokok di kawasan larangan," katanya.

Beliau berharap tanda amaran baharu dapat memberi penjelasan lebih baik kepada orang ramai berkenaan penguatkuasaan undang-undang tersebut, sekali gus memberi kesedaran kepada masyarakat.

Tambah beliau, sekiranya pelanggan masih berdegil, aduan boleh dibuat kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di talian 010-8608949 atau bilik gerakan di talian 03-88924552.

Beliau turut memaklumkan, terdapat beberapa lokasi 'panas' berdasarkan beberapa aduan diterima dan pegawai penguat kuasa akan membuat rondaan dengan lebih kerap.

Ketika ditanya sambutan daripada pemilik premis, beliau berkata, semua pemilik premis patuh untuk mengunakan tanda larangan baharu.

Operasi Mega Bersepadu di Kuala Lumpur merupakan pelaksanaan kelapan selepas dilaksanakan di Melaka, Sabah, Selangor, Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu sejak 1 Oktober lalu.

Terdahulu pada 4 Oktober lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan, premis dobi dan bangunan tempat kerja menjadi kawasan terbaharu larangan merokok selepas ia digazetkan di dalam senarai Tempat Dilarang Merokok di bawah Akta 852.

Ia menjadikan sebanyak 28 tempat larangan merokok secara keseluruhannya.

Akta 852 yang telah diwartakan pada 2 Februari lalu berkuat kuasa serentak dengan peraturan-peraturan serta perintah di bawahnya bermula 1 Oktober 2024.

Trainee