fb fb fb fb fb

Tanah runtuh: 700 penduduk Apartment Puncak Arabella terputus hubungan

FOTO RTM

CAMERON HIGHLANDS, 29 November - Kira-kira 700 penduduk di Apartment Puncak Arabella, Tanah Rata di sini terputus hubungan susulan kejadian tanah runtuh didi lereng bukit berhampiran Blok C apartment berkenaan.

Ketua Polis Daerah Cameron, Superintendan Azri Ramli berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 8.30 malam tadi (Jumaat).

“Kejadian tanah runtuh itu menyebabkan laluan ke kawasan apartmen terputus hubungan, sekali gus menjejaskan pergerakan keluar masuk hampir 700 penduduk yang menetap di situ,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Beliau berkata beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan tinjauan keselamatan dan tindakan awal.

Jelas beliau, Jabatan Meteorologi dan Geosains (JMG) turut dihubungi bagi melakukan penilaian segera terhadap status tanah di kawasan terbabit.

“Pasukan Jabatan Kerja Raya dan SMR Selenggar-Pahang Sdn Bhd turut telah bergerak ke lokasi untuk melaksanakan tindakan pembersihan jalan dan juga langkah berjaga-jaga sementara untuk perlindungan cerun (temporary precautions for slope protection) terlebih dahulu,” katanya.

Beliau dalam pada itu menasihati masyarakat agar tidak menularkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian tersebut.

Sebarang maklumat lanjut boleh disalurkan kepada Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD Cameron Highlands di talian 05-4915999 atau mana-mana balai polis berhampiran. 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD