fb fb fb fb fb

Status noktah miskin tegar, implikasi AI jadi tumpuan Dewan Rakyat

Sidang Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 22 Oktober - Usaha Kerajaan menoktahkan miskin tegar, usaha meningkatkan pengeluaran komoditi sawit, serta langkah menangani implikasi etika, undang-undang, ekonomi, dan sosial berkaitan Kecerdasan Buatan (AI) antara tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengemukakan pertanyaan kepada Perdana Menteri pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, mengenai status terkini usaha Kerajaan untuk menoktahkan miskin tegar sebagaimana janji YAB. Perdana Menteri pada tahun 2023 dan apakah mekanisme yang digunakan bagi menentukan kategori miskin tegar.

Pada sesi sama, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) meminta Perdana Menteri menyatakan pelan tindakan di bawah agenda reformasi khusus buat syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan agensi demi memastikan keseimbangan antara objektif korporat dan tanggungjawab sosioekonomi nasional tercapai tanpa menjejaskan daya maju, daya saing dan daya tahan ekonomi Malaysia.

Sementara itu, seramai 47 Ahli Parlimen disenaraikan terlibat dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Jawab Lisan.

Antaranya, Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) meminta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan langkah strategik untuk meningkatkan hasil komoditi sawit memandangkan penurunan pengeluaran semasa yang semakin menyusut dikhuatiri meletakkan industri sawit senasib dengan industri getah yang tidak lagi mampu menampung keperluan negara.

Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) turut dijangka mengemukakan pertanyaan kepada Menteri Digital berkenaan tahap keupayaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam kalangan rakyat Malaysia dan apakah perancangan Kementerian Digital dalam menangani implikasi etika, undang-undang, ekonomi, dan sosial berkaitan AI serta alat dan teknologi yang dikuasakan AI untuk sektor penting negara.

Usai sesi soal jawab, persidangan diteruskan dengan menyambung semula perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2025, yang memasuki hari kedua hari ini.

Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 35 hari hingga 12 Dis depan.

Trainee