IPOH, 7 Januari - Ibrahim Mat Zin atau gelarannya "Raja Bomoh" yang disiasat atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam dibebaskan dengan jaminan Mahkamah Rendah Syariah di sini.
Ibrahim, 71 tahun bersama seorang wanita, Suliaha Abdul Hamid, 62 tahun yang dikenali sebagai "Puteri Zaleha" masing-masing diperintahkan membayar wang jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga.
Hakim Syarie, Mohammad Najib Ab Razak membuat ketetapan itu selepas membenarkan permohonan Pendakwa Syarie, Suhaili Ishak yang dikemukakan mengikut Seksyen 22 Enakmen Tatacara Jenayah Perak 2004.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan tidak mengemukakan kertas pertuduhan pada prosiding itu berikutan masih memerlukan masa untuk mengambil keterangan dan menjalankan siasatan lanjut.
Dalam prosiding terbabit, Suhaili memberitahu mahkamah bahawa dua individu terbabit telah disiasat di bawah Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 di sebuah rumah di Taman Rapat Jaya 1, Ipoh sekitar pukul 3.45 petang, 6 Januari lepas.
Bagi tujuan siasatan itu, dikemukakan agar kedua-dua mereka diberikan satu pembebasan dengan satu cagaran penjamin oleh mahkamah.
Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan RM3,000 setiap seorang, manakala 23 Februari depan bagi sebutan semula kes.
Ibrahim dan Suliaha tular di media sosial susulan satu ritual menolak musibah banjir yang dilakukan di Dataran JPS di Teluk Intan.