KUALA LUMPUR, 22 April- Sambutan Hari Raya Aidilfitri di seluruh negara hari ini meriah dengan masjid dan surau dipenuhi jemaah untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Di Perak, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Masjid Ubudiah Kuala Kangsar bagi menunaikan solat sunat Aidifitri bersama hampir 2,000 jemaah, pagi tadi.
Keberangkatan baginda bersama Raja Muda Perak, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A'fifullah Shah.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama barisan exco turut menyambut keberangkatan baginda.
Manakala di Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bersama Sultanah Nur Zahirah dan dua anakandanya Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Muaz juga mencemar duli untuk turut bersama lebih kurang 3,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu.
Mengiringi baginda adalah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama beberapa pegawai kerajaan negeri.
Cuaca baik yang diramalkan sepanjang hari di Kuala Terengganu memberi kelebihan buat umat Islam di sini untuk menyambut 1 Syawal dalam suasana penuh meriah.
Di Kelantan, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al Ismaili Bandar Baru Pasir Pekan, Tumpat, pagi tadi.
Baginda yang tiba sekitar pukul 9.10 pagi bersama hampir lebih 2,000 jemaah yang hadir.
Turut mengiringi baginda, Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra, serta Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Solat sunat Aidilfitri diimamkan Imam Besar Negeri Kelantan, Muhammad Hanafizi Abdullah manakala khutbah disampaikan Mufti Kelantan, Datuk Muhammad Shukri Mohamad.
Selesai solat, baginda mengambil kesempatan beramah mesra bersama para jemaah sebelum berangkat pulang untuk menghadiri Majlis Penghadapan yang diadakan di Istana Balai Besar, Kota Bharu.
Sementara itu, di Pahang, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri secara berjemaah.
Baginda tiba pada pukul 8.35 pagi dan kemudian menunaikan solat sunat Aidifitri bersama kira-kira 2,000 jemaah.
Solat sunat Aidilfitri itu dipimpin oleh Imam I, Mohd Faizal Abdul Manaf manakala khutbah bertajuk "Kukuhkan Perpaduan, Jalinkan Persaudaraan" disampaikan oleh Kadi Pekan, Mohd Aris Jamin.
Sebelum itu, tatacara solat sunat Aidilfitri diterangkan oleh Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Othman.
Selesai solat, baginda mencemar duli menyantuni jemaah yang hadir ke masjid dan berkenan berangkat menziarahi Makam Diraja Pekan yang terletak bersebelahan masjid tersebut.
Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr. Sallehudin Ishak dan barisan Exco Kerajaan Negeri.
Di Perlis, Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 2,000 rakyat jelata di Dataran Istiadat, Istana Arau.
Baginda tiba di perkarangan Dataran Istiadat kira-kira pukul 7.55 pagi.
Solat sunat Aidilfitri bermula pukul 8.00 pagi diimamkan Imam Besar Negeri Perlis, Ustaz Ahmad Sirajuddin Abdul Satar.
Selesai solat, baginda turut mendengar khutbah khas Aidilfitri bertajuk "Amalan Soleh Dalam Mencari Keredhaan Allah SWT" yang di sampaikan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Dalam khutbah yang disampaikan, masyarakat Islam perlu mengambil ikhtibar sepanjang sebulan melalui bulan Ramadan dan kini hari kemenangan telah tiba untuk kita sama merai dan mensyukuri nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita.
Turut hadir menunaikan solat sunat Aidilfitri ialah Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, barisan exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.
(Foto fail)
Sementara itu di Johor, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 1,000 jemaah di Masjid Sultan Abu Bakar, pagi tadi.
Tunku Ismail tiba di masjid pada pukul 8.30 pagi dengan diiringi Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.
Turut hadir bersama menunaikan solat sunat di masjid itu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor dan pegawai kanan kerajaan.
Tunku Ismail dan jemaah kemudiannya bertakbir raya sebelum menunaikan solat sunat yang diimamkan Imam Besar Masjid, Makhadzir Abdan.
Tunku Ismail kemudian meluangkan masa bersalaman dengan jemaah sebelum berangkat pulang pada pukul 9.15 pagi.