fb fb fb fb fb

#QuranHour himpun 1,000 peserta, ambil iktibar terap nilai merdeka

Program yang berlangsung serentak di seluruh negara itu disiarkan secara langsung dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya/Foto Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 30 Ogos - Program Malaysia #QuranHour kali ke-10 yang diadakan tahun ini berjaya menghimpunkan hampir 1,000 peserta untuk memahami dan menghayati Rukun Negara melalui perspektif Al-Quran.

Susulan itu, rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, disarankan untuk mengambil iktibar daripada Surah Al-Hujurat dan Al-Jumu’ah bersempena Hari Kebangsaan ke-67 esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, dalam ucapannya, menekankan pentingnya umat Islam mensyukuri nikmat kemerdekaan dan keamanan dengan membina perpaduan serta mengamalkan adab yang diajarkan dalam Al-Quran.

"Sekiranya kamu kufur dan tidak melaksanakan apa yang Allah ajar, khususnya adab yang diajar dalam Surah Al-Hujurat, kita akan terjebak dalam persengketaan, mengejek, melabel, dan menuduh sesama sendiri.

"Ini bertentangan dengan ajaran Allah. Kita harus bersyukur dengan nikmat keamanan dan kemerdekaan ini serta bersama-sama membina kesatuan dan perpaduan, insya-Allah kita akan dipelihara Allah daripada segala musibah dan mencapai kejayaan di dunia dan akhirat," katanya.

Program yang berlangsung serentak di seluruh negara itu disiarkan secara langsung dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Acara dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah, Al-Baqarah ayat 1-5, surah Al-Jumu’ah, dan surah Al-Hujurat, yang diselang-selikan dengan sesi tadabbur.

Program diakhiri dengan bacaan ikrar oleh selebriti Fikry Ibrahim.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, dan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Husamuddin Yaacob.

GRACE AISYAH KEDAYAN