BAGAN DATUK, 7 September - Program Quran Minit yang sebelum ini dilaksana secara rintis, kini diperluaskan ke seluruh negara membabitkan 10,883 Tabika KEMAS.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu membolehkan kanak-kanak prasekolah di bawah KEMAS membudayakan doa, bacaan al-Quran dan aktiviti kerohanian selama lima minit setiap hari.
“Ia bermula sebagai projek rintis dan kini diperluaskan ke seluruh Tabika KEMAS. Setiap hari selama lima minit aktiviti ini dilaksanakan di 10,883 tabika,” katanya.
Beliau menegaskan, pendekatan itu mampu membentuk nilai kerohanian sejak awal usia sekali gus melahirkan generasi berkeperibadian unggul.
Program berkenaan diselaraskan oleh KEMAS dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Quran Minit merupakan sebahagian daripada inisiatif 5 Minit@KEMAS, yang turut merangkumi Hadis Minit (Selasa), Doa Minit (Rabu), Adab Minit (Khamis) dan Watan Minit (Jumaat) bagi memupuk nilai murni serta kecintaan kepada negara.