GEORGE TOWN, 29 Julai -Bacaan Qunut Nazilah tidak sepatutnya disalah guna untuk mendoakan kebinasaan sesama Muslim, sebaliknya harus ditujukan kepada musuh yang jelas memerangi dan membunuh umat Islam.
Mufti Pulau Pinang Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman menegaskan Qunut Nazilah bukan untuk individu atau kelompok Muslim yang hanya berbeza pandangan, apatah lagi dalam soal politik.
Katanya, doa tersebut adalah doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW ketika umat Islam menghadapi musibah besar seperti peperangan, penindasan atau pembunuhan oleh musuh.
Berdasarkan sejarah, Rasulullah SAW sendiri hanya membaca Qunut Nazilah terhadap musuh-musuh Islam yang nyata memerangi Islam.
"Bukannya terhadap sesama orang Islam yang bersyahadah yang menunaikan solat yang beriman kepada Allah SWT. Maka dengan sebab itu tujuan asal Qunut Nazilah adalah untuk mendoakan pelindungan dan pertolongan kepada umat Islam yang dizalimi dan mendoakan kebinasaan kepada musuh Islam yang jelas kufur dan memerangi umat Islam.
"Maka dengan sebab itu tujuan Qunut Nazilah bukanlah untuk keburukan kepada sesama Islam yang berbalah dalam ideologi, dalam politik dan sebagainya sehingga mendoakan keburukan kepada sesama Muslim ini satu perkara yang salah kerana doa keburukan terhadap orang Islam yang masih lagi beriman kepada Allah walaupun kadangkala mereka zalim tetapi masih lagi beriman kepada Allah," katanya ketika dihubungi RTM.
Pada masa sama beliau menyeru umat Islam agar sentiasa berdoa dengan adab, hikmah dan kasih sayang serta menjauhi unsur permusuhan sesama saudara seagama.