fb fb fb fb fb

Golongan usahawan harap RMK13 perkasa ekosistem ekonomi PMKS

Foto hiasan

KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Golongan usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menyuarakan harapan agar Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memberi tumpuan terhadap keperluan sebenar mereka.

Ia termasuk memperluas lagi skop pendidikan keusahawanan, sistem logistik, kemudahan pensijilan, serta sokongan dana.

Pengusaha produk bumiputera rempah ratus di sini, Kamarul Hassan berkata, kerajaan perlu memperkemas dasar berkaitan keusahawanan bermula dari peringkat sekolah menengah, bagi melahirkan generasi usahawan yang lebih bersedia dan berdaya saing.

"Pada saya, peruntukan RMK13 untuk agensi-agensi di peringkat negeri dapat ditingkatkan kerana kami dapat berurusan terus dengan agensi di peringkat negeri dan tidak perlu melalui proses yang panjang untuk diajukan diperingkat pusat.

"Jadi di peringkat negeri dah boleh bantu secara terus, dan kita jangkakan bantuan kepada usahawan itu dapat dilakukan dengan lebih berkesan," katanya.

Kamarul turut menyarankan kerajaan membuka lebih banyak peluang dengan mewujudkan jaringan usahawan berskala besar dengan perkongsian teknologi dan akses pasaran yang lebih luas antara pengusaha tempatan.

Sementara itu, seorang lagi usahawan keropok lekor Ramlah Awang menyuarakan kebimbangan terhadap kos bahan mentah yang semakin meningkat serta kelewatan sistem penghantaran hingga menjejaskan produk mudah rosak seperti yang dihasilkan.

"KIta mahu kerajaan membantu pengeluaran di seluruh Malaysia dan ke luar negara. Untuk luar negara kita minta kerajaan membantu dengan mempermudahkan sijil halal. Selain itu memudahkan pemilikan geran.

"Ia penting kepada usahawan untuk meluaskan perniagaan ke luar negara. Untuk pihak bank pula diharapkan ia dapat melonggarkan syarat untuk memudahkan pinjaman," katanya.

Justeru itu, kerajaan disaran menyediakan lebih banyak insentif dan bantuan kewangan agar pengusaha tempatan terus mampu bertahan dan bersaing dalam pasaran.

Perhatian khusus PMKS dalam RMK13 juga akan menjadi lonjakan baharu buat sektor itu agar terus mampan dan seterusnya dapat merangsang serta menyokong ekonomi negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI