fb fb fb fb fb

Qari OKU Mesir sertai MTHQA 2024

Muhammad Abdel Karem Kamel Attia Mohamed / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Qari kelahiran Mesir, Muhammad Abdel Karem Kamel Attia Mohamed, menjadi satu-satunya peserta dari kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan yang menyertai Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) 2024.

Menariknya, meskipun beliau merupakan OKU penglihatan, beliau tidak menggunakan al-Quran Braille ketika membaca ayat suci, sebaliknya hanya bergantung kepada kekuatan hafazannya.

Peserta istimewa ini berjaya menghafaz al-Quran sejak usia enam tahun hanya dengan mendengar bacaan ayat-ayat suci.

"Saya mula hafaz al-Quran dari umur lima tahun, dan dalam tempoh setahun pada umur enam tahun, saya telah berjaya menghafaz al-Quran," katanya kepada pemberita.

Beliau turut berpesan kepada golongan muda di Malaysia bahawa al-Quran adalah sumber kehidupan dan kemuliaan.

“Barangsiapa yang berpegang dengan al-Quran, dia berjaya,” tambahnya.

Kini, beliau berkhidmat sebagai imam dan khatib di salah sebuah masjid di Mesir yang dilantik oleh Kementerian Wakaf Mesir.

Beliau turut menyatakan rasa gembira dan terharu dengan layanan yang diterima sepanjang berada di Malaysia, lebih-lebih lagi ini merupakan kunjungan pertamanya ke negara ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN