fb fb fb fb fb

Qari OKU cipta sejarah, muncul johan tilawah kebangsaan

BUTTERWORTH, 17 Jun- Sejarah tercipta apabila Qari cacat penglihatan dari Kelantan dinobatkan sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1444H/2023M malam tadi.

Menggunakan Al-Quran Braille, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 25, tidak menyangka mampu menewaskan peserta lain.

Kejayaan itu mengangkat beliau menjadi Qari pertama dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) bergelar johan sejak tahun 1947.

"Apabila diumumkan tempat pertama, saya mendengar markah diberi...saya tidak menyangka yang tempat pertama itu saya sebab ada Qari yang lebih hebat dari saya...latihan saya buat sendiri, dengan guru pun ada...dengan guru pada hari Jumaat," kata Muhammad Qayyim Nizar ketika ditemui pemberita di sini.

(Tun Ahmad Fuzi (dua dari kiri) menyampaikan hadiah johan qari kepada
Muhammad Qayyim pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan malam tadi)

Johan Qariah pula disandang Nor Hidayah Abd Rahman, 32, dari Terengganu.

"Untuk nak tingkatkan ini kena buat latihan secara konsisten, macam sebelum ini selepas Maghrib dan Isyak saya akan buat latihan bersama ayah," menurut Nor Hidayah.

Dengan kemenangan itu, mereka layak membawa pulang masing-masing hadiah wang tunai RM20,000, selain piala iringan dan tambahan wang tunai RM10,000 bagi menunaikan haji.

Sementara itu, Ahmad Ikhmal Ridhuan dan Dian Karisma Mohd Japar masing-masing berumur 21 dan 18 tahun menjadi johan bagi kategori 1 hingga 30 juzuk berserta tafsir lelaki dan perempuan.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah bersempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Media Baharu