fb fb fb fb fb

Asrarudin jatuh hati suasana Mekah, ambil keputusan menetap di Tanah Suci

(Asrarudin Putra Omar)

MEKAH, 16 Jun- Bekas pemain kebangsaan dan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) Asrarudin Putra Omar menemui kehidupan baharu di Mekah selepas mengambil keputusan menetap di Tanah Suci susulan karier bola sepaknya berakhir akibat kecederaan berpanjangan.

Pemain dalam skuad juara Piala Suzuki AFF 2010 itu turut memasang impian mempunyai keluarga besar di Mekah sehingga akhir hayat.

Asrarudin, 35, yang baharu mendirikan rumah tangga bersama Tengku Nurliyana Tengku Azlan pada 13 Mei lalu memaklumkan, beliau mula 'jatuh hati' dengan suasana di Mekah selepas menunaikan umrah kali pertama pada November 2021.

Bagaimanapun, keputusan untuk tinggal secara tetap dibuat selepas beliau datang ke Tanah Suci buat kali keempat serta bertemu jodohnya dengan seorang jururawat yang bertugas di Hospital Jeddah.

Beliau yang senang disapa sebagai Asra gembira dengan kehidupan ketika ini, namun tidak menolak untuk beraksi di padang sebagai pemain semi-profesional

"Saya pasang impian untuk menghembuskan nafas terakhir di sini, mahu meninggal dunia di sini. Apa yang terjadi saya serahkan kepada Allah. Sekarang tiada apa yang hendak dikejar. Apabila dah jumpa insan-insan hebat di Mekah ini, banyak ilmu saya dapat. Asy dah rasa semua, gaji besar, rumah kereta, semua dh rasa.  Sekarang ini saya bersyukur saja dengan apa yang ada," katanya ketika ditemui pemberita di Perkampungan Melayu di Bukit Ajyad, di sini.

Selepas kariernya tamat bersama JDT akibat kecederaan lutut, beliau memaklumkan masih bermain bola sepak secara semi-pro­fesional bersama kelab Kelana United bagi saingan Liga Selangor.

Bagaimanapun tugasnya sebagai kapten pasukan ketika ini digalas Razman Roslan.

Asrarudin yang juga pernah bersama Selangor akan bermain bersama kelab berkenaan sekiranya pulang ke tanah air.

(Asrarudin Putra Omar)

Media Baharu