SEREMBAN, 16 Jun- Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) bakal memperluaskan aktiviti ekonomi ke peringkat antarabangsa dengan membuka hab halal di Vietnam.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, langkah tersebut mampu menyokong usaha kerajaan dalam aspek keterjaminan makanan negara pada masa hadapan.
"Apa yang menarik dalam pengisian ini adalah kerjasama ekonomi dengan beberapa negara seperti Vietnam dan Indonesia dengan kerjasama ekonomi Insititut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
"Kita lihat dengan kerjasama yang ditingkatkan ini, ia akan menambah pendapatan ahli-ahli veteran kita," katanya.
Beliau berkara demikian pada Majlis Sambutan Ulang Tahun PVATM ke-103 dan Perhimpunan Agong PVATM ke-99 di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini.
Langkah itu bukan sahaja berpotensi membuka pasaran baharu untuk produk halal Malaysia, malah turut membantu memperkukuh kedudukan ekonomi ahli PVATM secara menyeluruh.
Dalam pada itu, menurut Presiden PVATM, Datuk Shaharuddin Omar, PVATM dalam usaha menjalin kerjasama dengan pasaran di Timur Tengah, khususnya bagi memasarkan produk dan perkhidmatan halal dari Malaysia.
Selain itu, PVATM juga sedang bekerjasama dengan Mardi Corp bagi membangunkan projek tanaman kelapa berskala besar sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keterjaminan makanan dalam negara.