fb fb fb fb fb

Dialog Islam-Konfusianisme wadah perkukuh harmoni global

Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada Program Dialog Kepimpinan Islam dan Konfusianisme di kampus UIAM, Gombak.

GOMBAK, 16 Jun - Program Dialog Kepimpinan Islam dan Konfusianisme signifikan dalam membina jambatan persefahaman antara dua peradaban agung dunia.

Program anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Persatuan Konfusian Antarabangsa (ICA) penting dalam usaha mencapai keharmonian serantau dan global, terutama dalam dunia yang semakin kompleks.

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, dialog itu bukan sekadar wacana akademik, sebaliknya wadah memperkukuh solidariti antara tamadun, menolak sikap sinis dan mengelak konflik.

“Hari ini, kita hidup dalam apa yang digelar para sarjana sebagai dunia pasca-normal, di mana kekeliruan sering mengatasi kejelasan. Kemajuan teknologi telah mengubah secara ketara interaksi manusia, hubungan sosial dan komunikasi baik dari segi positif mahupun negatif.

“Kita mengingati bahawa Laksamana Zheng He dan Ibnu Battuta merentasi lautan bukan untuk menakluk, tetapi untuk menghubungkan. Bahawa Ibn Khaldun dan Zhu Xi berusaha bukan untuk mendominasi, tetapi untuk memahami. Bahawa Al-Ghazali dan Confucius percaya pada penguasaan diri, bukan keunggulan,” katanya pada program tersebut di kampus UIAM, Gombak.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, Presiden Persatuan Konfusian Antarabangsa, Sun Chunlan dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Menurut Datuk Seri Dr Wan Azizah, dialog itu juga kesinambungan kepada semangat kebangkitan peradaban yang tercetus menerusi Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China baru-baru ini, sekali gus memperkukuh jalinan intelektual dan budaya antara dunia Islam dan tamadun Konfusian.

“Kita akan memperteguhkan cita-cita bersama mengenai keamanan, kebebasan, belas kasihan dan keadilan demi membina masa depan yang lebih harmoni,”

Program sehari itu menghimpunkan cendekiawan dan pakar dari kedua-dua tradisi peradaban Islam dan Konfusianisme untuk membincangkan pelbagai isu nilai sejagat, hubungan antara tamadun, serta peranan pendidikan dan etika dalam membentuk masyarakat global yang inklusif dan berperikemanusiaan.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN