fb fb fb fb fb

Tangan putus tersepit dalam mesin pengisar daging

Pasukan bomba membantu mengeluarkan tangan mangsa

KEMAMAN, 16 November- Seorang wanita kehilangan pergelangan tangan kanannya selepas tersepit di dalam mesin pengisar daging dan cedera parah di Kerteh, Kemaman petang semalam.
 
Sebelum itu mangsa terpaksa menahan kesakitan lebih satu jam selepas tangannya itu tersepit di dalam mesin berkenaan kira-kira jam dalam kejadian jam tiga petang semalam sebelum diselamatkan sepasukan anggota bomba.
 
Sebelum kejadian, mangsa yang berumur 31 tahun itu sedang melakukan kerja mengisar daging untuk dijadikan daging burger di rumahnya.
 
Ketika sedang melakukan kerja berkenaan, sarung tangan dipakai mangsa dipercayai tersangkut pada bilah mesin menyebabkan tangan mangsa tertarik ke dalam mesin pengisar.
 
Suami mangsa yang menyedari kejadian itu turut membantu menarik keluar tangan isterinya sebelum menghubungi bomba untuk bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd Zailani Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau berkata, sepasukan 12 anggota bersama unit EMRS telah menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4. 42 petang.
 
"Operasi mengeluarkan tangan mangsa menghadapi sedikit kesukaran ekoran pergelangan tangan yang hancur dan melekat pada bilah pisau mesin pengisar.
 
"Bomba terpaksa meleraikan beberapa bahagian mesin dan tangan mangsa akhirnya dapat dikeluarkan dari mesin pengisar tersebut dua puluh minit kemudian,"katanya.
 
Mohd Zailani berkata, pergelangan tangan mangsa gagal diselamatkan kerana kecederaan parah sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan hospital untuk tindakan lanjut.
 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE