fb fb fb fb fb

Putu mayung hidangan tradisi Aidilfitri komuniti India Muslim

Putu mayung yang menjadi sajian istimewa bagi komuniti India Muslim di Pulau Pinang ketika Aidilfitri/RTM

GEORGE TOWN, 31 Mac- Putu mayung kekal menjadi sajian utama komuniti India Muslim di Pulau Pinang setiap kali menyambut 1 Syawal, menggantikan hidangan tradisional lain seperti ketupat, rendang dan lemang.

Tinjauan RTM ke kediaman Rahman Shah Abdul Kadeer di Jelutong di sini mendapati keluarganya masih mengekalkan tradisi menikmati putu mayung bersama lauk ayam, daging atau kurma.

Menurut Rahman Shah, putu mayung adalah makanan wajib setiap Aidilfitri dalam kalangan masyarakat India Muslim.

"Putu mayung selalunya dinikmati bersama lauk berasaskan ayam atau daging. Itu yang paling istimewa. Ia mesti ada, selain roti, lemang atau tosai. Yang penting, putu mayung memang hidangan utama bagi komuniti India Muslim," katanya.

Bagi seorang tetamu, Muhd Arshad Abdul Rahman keunikan sambutan Aidilfitri komuniti India Muslim bukan sahaja terletak pada hidangan utama tetapi juga sajian tradisional lain.

"Apabila kita berkunjung ke rumah jiran atau rakan, pasti kita disajikan dengan putu mayung, kari ayam, kari daging kicap. Itu keunikan daripada segi makanan. Selain itu, pasti ada muruku dalam pelbagai bentuk dan acuan. Segala macam muruku boleh didapati di rumah India Muslim," katanya.

Sambutan Aidilfitri di rumah Rahman Shah turut meriah dengan kehadiran ahli keluarga, saudara-mara serta kenalan.

Dalam masa sama, aktivis masyarakat Mohamed Nasir Mohideen mengingatkan rakyat Malaysia agar sentiasa bersyukur dengan keamanan negara dan menginsafi keperitan yang dihadapi umat Islam di Palestin ketika menyambut Aidilfitri.

"Berapa ramai yang ditimpa kecelakaan di sana? Jadi, kita perlu menginsafi diri dan sentiasa bersyukur saat menyambut Aidilfitri ini," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman Rahman Shah.


Rahman Shah Abdul Kadeer (berdiri) bersama para tetamunya antaranya Muhd Arshad Abdul Rahman (baju oren) dan Mohamed Nasir Mohideen (coklat cair) di kediamannya di Jelutong hari ini/RTM

SITI AISHAH MD ISA