BUKIT PALAH, 31 Mac - Persiapan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat kebangsaan di Melaka, berjalan lancar dan sudah mencapai 80 peratus.
Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad berkata, majlis yang dijadual pada 5 April ini akan menyajikan pengunjung dengan pelbagai juadah istimewa sinonim dengan perayaan Aidilfitri serta berpeluang menyaksikan persembahan daripada artis popular.
"Sudah hampir 80 peratuslah. Sikit saja lagi tinggal, Insya-Allah semuanya telah diselesaikan sebaik mungkinlah," kata Azhar kepada pemberita selepas solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Azim, di sini.
Terdahulu, Yang di-Pertua Negeri Tun Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman, hadir menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 10,000 jemaah di Masjid Al-Azim, pagi tadi.