fb fb fb fb fb

Puting beliung rosakkan lapan rumah di Sekinchan - Bomba

FOTO BOMBA SEKINCHAN

SEKINCHAN, 6 Mac- Sekurang-kurangnya lapan buah rumah penduduk di sini mengalami kerosakan teruk susulan kejadian puting beliung pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar 7.30 pagi itu, angin kencang dalam keadaan berputar menerbangkan atap dan bumbung rumah penduduk terutama di kawasan sawah.

Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan, PBK II Mohd Rafizal Mohd Rani berkata pihaknya menerima laporan pada pukul 7.48 pagi sebelum menggerakkan lapan anggota ke lokasi kejadian.

"Kami mengarahkan penduduk terjejas keluar dari rumah yang musnah dan berkumpul di lokasi selamat. Anggota turut diarahkan untuk memeriksa rumah-rumah yang terlibat bagi memastikan tiada mangsa cedera atau terkorban.

"Pada masa ini, bomba masih menjalankan pemantauan di lokasi kejadian dan bekerjasama dengan ketua kampung bagi mengenal pasti sekiranya terdapat mangsa atau kediaman lain yang turut terjejas," katanya ketika dihubungi RTM.

Terdahulu, video tular yang dirakam orang awam menunjukkan angin puting beliung menerbangkan bumbung rumah penduduk hingga lebih 50 meter ke udara.

0603 BOMBA   TAUFAN SEKINCHAN 2
Tangkap layar video tular di media sosial

SITI AISHAH MD ISA