KUALA LUMPUR, 6 Mac- Usaha mewujudkan garis panduan bagi umat Islam menghadiri majlis di rumah ibadat bukan Islam merupakan cetusan idea wakil ketua agama Hindu dan Sikh.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im, ia dizahirkan untuk memahami batas yang digariskan hukum syarak dalam sambutan perayaan melibatkan jemputan masyarakat Islam.
"Garis panduan ini asalnya bermula daripada kehendak dan permintaan daripada wakil agama, ketua agama. Seingat saya dalam Jawatankuasa Harmoni Ketua Agama Hindu dan Singh, melibatkan penyertaan orang Islam dalam upacara perayaan orang bukan Islam. Itu dalam konteks Hindu dan Sikh.
Maknanya, puncanya di situ adalah permintaan daripada orang bukan Islam sendiri. Dia nak JAKIM mengadakan garis panduan supaya bila mana dia nak jemput orang Islam dalam perayaan, mereka tahu dan juga orang Islam itu tahu had dia dalam perayaan itu. Mana boleh dan mana tak boleh," kata Dr. Mohd Na'im di Dewan Negara, hari ini.
Kenyataan itu bagi menjawab soalan tambahan, Senator Hussin Ismail.