fb fb fb fb fb

Pusat Susu Bonda Halimatussadia 'Bank Susu' patuh syariah

KUANTAN, 26 Julai- Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini merasmikan Pusat Susu Bonda Halimatussadia (HMMC) di Pusat Kesihatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC@IIUM), Kuantan.

Idea penubuhan pusat itu bermula pada akhir tahun 2019 kini direalisasikan dan menjadi bank susu patuh syariah, yang diwujudkan bagi membekalkan susu ibu kepada bayi-bayi pramatang.

Baginda bertitah, bagi memastikan idea itu dilaksanakan, perbincangan dan penelitian dilaksanakan pihak berkaitan sejak tahun 2020, bagi memastikan ia dilaksana berlandaskan syariah.

Menyedari manfaat susu ibu terutama kepada bayi pramatang titahnya, pusat ini perlu terus beroperasi dan tidak sekadar "hangat-hangat tahi ayam".

Beberapa prosedur penting digariskan sebelum susu itu diberikan kepada bayi, termasuk memastikan kedua-dua keluarga penyumbang dan penerima susu, dipertemukan.

Baginda turut menyeru ibu-ibu yang mempunyai kelebihan susu ibu, untuk menyumbangkannya ke HMMC.

Dalam titahnya, baginda juga menasihatkan ibu-ibu yang menyusukan anak, supaya sentiasa makan makanan yang berkhasiat kerana bayi mendapatkan nutrisi makanan melalui susu ibu.

Baginda bertitah demikian ketika mencemar duli berangkat dan merasmikan Pusat Susu Bonda Halimatussadia di Pusat Kesihatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC@IIUM) Kuantan.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin; dan Presiden IIUM Tan Sri Samsudin Osman.


(Tunku Azizah melihat proses pengasingan susu sambil menerima penerangan daripada pegawai HMMC)

Media Baharu