fb fb fb fb fb

Agong berkenan hadir perasmian Kem Al- Sultan Abdullah, Markas Angkatan Bersama

KUANTAN, 26 Julai- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli hadir ke Majlis Perasmian dan Penamaan Kem Al- Sultan Abdullah, Markas Angkatan Bersama (MK AB) di Jalan Panching, Kuantan, Pahang.

Baginda juga berkenan menerima Tabik Hormat Diraja dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAM) terdiri daripada 4 pegawai dan 103 anggota.

Dalam majlis itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dipersembahkan dengan gimik acara pelancaran melibatkan gabungan aset dan aksi penerjunan anggota khas dari ketiga-tiga perkhidmatan ATM.

Gimik disertai pasukan dari Bahagian Operasi Pasukan Khas Pertahanan (BOPKP), 1 Kor Armor Diraja, 12 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize), 4 Skuadron Semboyan Briged dan Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia.

Seri Paduka Baginda juga berkenan menandatangani plat penamaan kompleks Markas Angkatan Bersama sebagai Kem Al-Sultan Abdullah.

Selain itu di-Pertuan Agong turut dipersembahkan taklimat mengenai peranan dan fungsi MK AB di Pusat Operasi Bersama (POB) serta berkesempatan berinteraksi secara sidang video dengan pegawai dan anggota ATM yang sedang melaksanakan Operasi PASIR di Sabah dan yang bertugas dalam misi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Kem Al-Sultan Abdullah dinamakan bersempena dengan nama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

(Baginda juga berkenan menerima Tabik Hormat Diraja dan memeriksa Kawalan Kehormatan
Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAM)/Istana Negara)

Pembinaan kem ini telah dirancang sejak tahun 2007 di atas kawasan seluas 97.769 ekar.

Kedudukan kem dan pangkalan Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara yang sedia ada di Kuantan diyakini secara langsung dapat menyokong pengoperasiannya.

Projek pembinaan Kem Al-Sultan Abdullah telah siap pada 25 April 2019 dan diserahkan kepada MK AB pada 11 Jun 2019 manakala pengoperasian kem bermula pada Julai 2019.

Kem ini menempatkan lebih 300 pegawai dan anggota pelbagai peringkat daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan di dalam ATM.

MK AB diwujudkan untuk mengendalikan tugas berdasarkan konsep penugasan bersama (jointness), yang bersifat tiga khidmat (tri-service) dalam ATM.

Selain itu markas tersebut juga berperanan menyelaraskan keperluan ATM dalam operasi dan misi bawah PBB.

Manakala konsep 'assigned force' yang dipraktikkan meletakkan komponen-komponen tempur setiap perkhidmatan bawah pemerintahan serta kawalan operasi Panglima Angkatan Bersama (PAB).

Secara amnya trup dan aset perkhidmatan yang ditugaskan adalah berdasarkan keperluan keselamatan atau ancaman situasi semasa.

MK AB berfungsi sebagai Pemerintah Peringkat Operasi yang bertanggungjawab merancang dan melaksanakan semua Operasi Bersama, Operasi Berkemungkinan Bersama, Operasi Gabungan, Operasi Bersepadu dan Operasi Pelbagai Negara seperti operasi bawah piagam PBB.

MK AB juga terlibat melaksanakan Eksesais Bersama dengan Angkatan Tentera dari negara-negara sahabat.

(Agong berkenan hadir perasmian Kem Al- Sultan Abdullah, Markas Angkatan Bersama
/Istana Negara)


Media Baharu