fb fb fb fb fb

JBPM lancar sekretariat perkasa keselamatan struktur mega

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 8 Ogos - Selepas tiga tahun perancangan rapi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) secara rasmi melancarkan Sekretariat Bangunan Super Tinggi Malaysia (SBSTM).

Sekretariat berkenaan berperanan sebagai platform kolaboratif antara JBPM dan pemilik bangunan super tinggi bagi memperkasa keselamatan kebakaran dan pengurusan risiko struktur tinggi.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, pendekatan keselamatan bagi bangunan seumpama itu tidak boleh disamakan dengan bangunan biasa kerana memerlukan perancangan evakuasi dan penggunaan sistem kecemasan yang lebih kompleks.

“Kita telah mengenal pasti enam buah bangunan di Malaysia yang melebihi ketinggian 300 meter, dan keperluan keselamatan bagi bangunan-bangunan ini sangat khusus serta kompleks,” katanya pada majlis Perhimpunan Bulanan JBPM di ibu pejabat jabatan itu, hari ini.

Melalui SBSTM, pemilik bangunan akan duduk semeja bersama JBPM bagi merangka garis panduan, amalan terbaik serta sistem pengurusan kecemasan yang lebih mantap dan sesuai dengan persekitaran Malaysia.

“Kita sudah ada asas di peringkat global, tetapi kita mahu rangka kaedah-kaedah yang sesuai dengan kondisi Malaysia. Elemen seperti proses pengungsian, penggunaan lif dalam kecemasan dan latihan pengurusan risiko akan diperhalusi,” tambah beliau.

SBSTM akan berperanan sebagai entiti berdaftar yang menghimpunkan pemilik bangunan super tinggi untuk duduk semeja bersama JBPM sebagai penguat kuasa.

Dalam masa sama, Malaysia Supertall Sekretariat, Datuk Tengku Ab Aziz Tengku Mahmud yakin, inisiatif itu bukan sahaja akan meningkatkan tahap keselamatan bangunan tinggi, malah berpotensi menjadikan Malaysia sebagai rujukan global dalam pembangunan superstruktur.

Sekretariat kini memasuki fasa pelaksanaan dengan fokus utama memperkemas prosedur operasi standard (SOP) dan strategi pengawalan risiko demi memastikan keselamatan penghuni serta memperkukuh daya saing industri pembinaan negara.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN