
KUALA NERUS, 8 Februari -Rundingan berhubung isu pengurusan ladang antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Kerajaan Terengganu kini hampir mencapai kata sepakat.
- Rundingan antara FELDA dan Kerajaan Terengganu hampir mencapai kata sepakat mengenai pengurusan ladang.
- Perbincangan terperinci dijalankan antara BKSF dan Setiausaha Kerajaan negeri, dijangka diselesaikan dalam tempoh terdekat.
- Isu bermula selepas Terengganu keluarkan Notis Seksyen 425 terhadap 15,000 hektar tanah yang diusahakan FELDA.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbincangan terperinci sudah diadakan antara Bahagian Kawal Selia Felda (BKSF) dan Setiausaha Kerajaan negeri.
“Perbincangan hampir selesai apabila pihak kami telah mengadakan rundingan dengan kerajaan negeri serta BKF, Bahagian Kawalan FELDA. Insya-Allah, perkara ini akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat,” katanya, di sini.
Sebelum ini, Terengganu mengeluarkan Notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara iaitu larangan menceroboh tanah yang diusahakan Felda seluas 15,000 hektar selepas mendakwa ia diteroka tanpa pembayaran premium, cukai atau perkongsian keuntungan selama lebih 40 tahun.
Penyerahan notis dilakukan serentak kepada pihak pengurusan ladang di Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu.
Sebagai rekod, tanah yang diusahakan FELDA sejak 1985 itu, turut melibatkan Ladang FGV Setiu 1 seluas lebih 1,700 hektar.