KUALA LUMPUR, 29 Oktober - Sejak Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) beroperasi mulai 12 Oktober 2022 sehingga Ogos 2024, sebanyak 122,603 panggilan diterima merangkumi aduan berkaitan kes penipuan dan khidmat nasihat kepada orang ramai.
Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan berdasarkan aduan yang diterima itu, jumlah kerugian yang dialami mangsa adalah sebanyak RM371 juta.
“BNM (Bank Negara Malaysia) telah menetapkan keperluan untuk bank memastikan kawalan dan standard keselamatan aktiviti perbankan secara dalam talian sentiasa diperkukuh selaras dengan amalan industri terbaik.
“Langkah ini telah pun menunjukkan impak positif. Pelaksanaan langkah tambahan keselamatan yang dibuat oleh institusi kewangan semenjak September 2022 berjaya membantu institusi kewangan menyekat transaksi yang tidak sah dan mencurigakan bernilai RM383 juta bagi tahun 2023,” tambahnya.
Kes penipuan secara 'phishing' (pancing data) dan 'malware' (perisian hasad) yang dilaporkan kepada NSRC juga menunjukkan trend penurunan.
Kenyataan MOF itu bagi menjawab pertanyaan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) menerusi jawapan bertulis bertarikh 28 Oktober yang disiar menerusi laman sesawang Parlimen hari ini.
Beliau bertanya mengenai statistik terperinci berkenaan kerugian yang dialami oleh pemegang akaun bank akibat daripada bank scam pada 2021, 2022, 2023 dan 2024, selain ingin mengetahui sama ada langkah baharu seperti penggantian OTP dan “kill switch” berkesan untuk mengurangkan kerugian itu.- BERNAMA