KUCHING, 29 Oktober- Land Surveyors Board Sarawak (LSBS) diminta untuk terus meneroka teknologi dalam semua bidang ekonomi pembangunan untuk maju ke hadapan.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi fokus kepada tiga bidang utama iaitu inovasi dan teknologi, infrastruktur penting, serta sektor tenaga.
Justeru itu beliau mahu kerjasama bersama agensi berkaitan diadakan agar Jabatan Tanah dan Survei dapat menyusun atur maklumat infrastruktur pembangunan dan pengurusan tanah dengan lebih efisein agar dapat menarik pelabur luar.
Ini berikutan dalam tempoh lima tahun akan datang, tiga projek utama akan menjadi tumpuan kerajaan antaranya pembinaan lapangan terbang antarabangsa Sarawak, pelabuhan Kuching yang baru untuk industri methanol, ammonia selain gas industri.
Beliau menyatakan demikian pada Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun ke-20 Land Surveyor Board Sarawak di Kuching.
Sementara itu, Pengerusi LSBS , Awang Zamhari Awang Mahmood memaklumkan pihaknya akan terus meneroka ekonomi baharu seperti penangkapan karbon, spektrum ruang udara dan kadaster marin, sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk inovasi dan pertumbuhan dalam agenda kepelbagaiannya.
Ini selaras dengan Kerajaan Negeri Sarawak baru-baru ini membuat pindaan terhadap Kanun Tanah Sarawak yang dibuat di bawah Tanah Kod (Pindaan) Ordinan, 2022 yang memperuntukkan untuk mengawal selia dan mengawal penggunaan tanah untuk simpanan karbon sama ada di atas atau di bawah bumi, serta mengawal selia dan mengawal penggunaan ruang udara di atas tanah.