fb fb fb fb fb

Pusat latihan JAKOA Paya Bungor dinaik taraf, tawar kursus TVET

FOTO BERNAMA

KUANTAN, 9 September - Pusat Latihan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Paya Bungor siap dinaik taraf dengan kos RM30 juta dan mula beroperasi pada suku ketiga tahun lepas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata institusi berkenaan menawarkan pelbagai kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk melahirkan belia Orang Asli yang cekap dan berdaya saing.

"Kita berbangga pusat latihan ini telah diiktiraf sebagai Pusat Bertauliah di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran.

"Dengan pengiktirafan ini, anak-anak muda Orang Asli bakal memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan 3," katanya pada perasmian pusat latihan berkenaan, di sini.

Majlis perasmian disempurnakan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan ia sebahagian daripada komitmen berterusan pihaknya dalam memperkasa masyarakat luar bandar khususnya komuniti Orang Asli.

Ini direalisasi melalui penyediaan peluang latihan kemahiran yang berstruktur dan diiktiraf.

Ia akan dibuka secara pentadbiran pada 26 September ini manakala kohort pertama pelatih akan memulakan pengajian menjelang hujung tahun ini.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN