fb fb fb fb fb

Kes Ismail Sabri: Wang tunai hampir RM170 juta disita kini hak milik kerajaan - Azam Baki

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki bercakap pada sidang media di Putrajaya/ Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 9 September - Wang tunai berjumlah hampir RM170 juta yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dipercayai milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini secara rasmi menjadi hak kerajaan serta telah dimasukkan ke akaun kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata perkara itu susulan keputusan responden iaitu Ismail Sabri yang tidak berhasrat mencabar permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang tunai berkenaan.

“Ini bermakna secara rasmi wang ini kini hak milik kerajaan dan proses untuk memasukkannya ke dalam 'consolidated fund' (dana yang disatukan) akan dimulakan pada hari ini. Mungkin dalam tempoh terdekat ia akan dikreditkan ke akaun kerajaan,” jelas beliau pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam, Mahkamah Sesyen dimaklumkan bahawa Ismail Sabri dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus tidak berhasrat mencabar permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang tunai lebih RM169 juta yang disita SPRM.

Dalam pada itu, Azam turut memaklumkan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) masih belum membuat keputusan untuk menuduh mana-mana pihak berhubung pelucutan hak wang tunai tersebut.

"Pihak pendakwaraya adalah satu entiti yang bebas, kami SPRM tidak ada kawalan dari segi 'timeline' untuk mereka membuat keputusan," tegas beliau.

Pada 7 Julai lepas, SPRM memfailkan permohonan untuk melucut hak wang tunai tersebut yang didakwa milik Ismail Sabri, yang disita daripada Mohammad Anuar kepada kerajaan Malaysia.

Permohonan dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009 setelah berpuas hati bahawa wang yang disimpan oleh Mohammad Anuar adalah milik Ismail Sabri dan berkait dengan suatu kesalahan di bawah Seksyen 36(2) akta sama.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN